Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Tuwokano. Gabungan Nira & Americano Jadi Fenomena Baru

Foto: Bernama

KOTA BHARU, 20 April – Siapa sangka secawan kopi yang diinspirasikan daripada tuak kampung kini menjadi minuman paling hangat di ibu negeri Kelantan. Dikenali sebagai ‘Tuwokano’, minuman unik ini menyatukan nira kelapa segar yang diperam beberapa jam bersama Americano, menjadikannya kombinasi luar jangka antara budaya Timur dan Barat.

Hasil kreativiti Mazuadi Zakaria, 46, seorang usahawan tempatan yang juga pemilik kafe Kopi Kaktus di Jalan Pasir Hor, Tuwokano bukan sekadar eksperimen suka-suka tetapi kini menempah nama sebagai tarikan baharu untuk peminat kopi dari seluruh negara.

Dengan menggunakan sehingga 100 liter air nira seminggu dan biji kopi terpilih dari Brazil dan Arabica tempatan, minuman ini dijual pada harga RM11 segelas. Ia terjual sehingga 30 gelas sehari, menandakan sambutan yang luar biasa daripada pengunjung.

Namun bukan mudah menghasilkan ‘kopi tuak’ ini. Menurut Mazuadi, kualiti dan keseimbangan rasa memerlukan ketelitian tinggi kerana sifat air nira yang mudah berubah. Penapaian perlu dikawal agar menghasilkan ‘jiwa’ bergas yang menjadi identiti minuman ini.

Lebih menarik, suasana kedai yang berkonsepkan nurseri bunga memberi nilai tambah unik kepada pelanggan. Kopi Kaktus menjadi lokasi santai untuk suami yang menunggu isteri membeli pokok bunga, sekaligus menjadikan tempat ini sebagai ‘port’ bergambar pilihan ramai.

“Saya nampak peluang di situ. Maka terhasillah Kopi Kaktus dalam nurseri Kedai Bunga Suri yang telah lebih 30 tahun beroperasi,” katanya.

Bukan itu sahaja, jenama ini bakal diperluas melalui pembungkusan dalam bentuk botol untuk pasaran luar. “Saya mahu kopi ini menjadi kebanggaan rakyat Kelantan dan satu hari nanti dikenali di peringkat antarabangsa,” tambahnya penuh harapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *