
KUALA LUMPUR – Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan pengumuman tergesa-gesa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung kejadian penggodaman terhadap sistem utama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). Pengumuman yang dibuat secara terbuka dan tidak berlapik itu menimbulkan kegelisahan besar, bukan sahaja dalam kalangan rakyat, bahkan turut menimbulkan ancaman undang-undang terhadap MAHB yang kini berisiko disaman oleh pihak berkepentingan termasuk pengguna antarabangsa.
Tindakan gelojoh perdana menteri mengisytiharkan kelemahan sistem sebelum siasatan lengkap diselesaikan memberi gambaran seolah-olah sistem digital negara longgar dan mudah ditembusi. Tanpa sebarang kenyataan rasmi dari pihak keselamatan siber negara terlebih dahulu, kenyataan beliau menimbulkan persoalan besar tentang protokol komunikasi kerajaan dalam isu keselamatan nasional.
MAHB yang kini turut dikaitkan dengan pengambilalihan oleh syarikat pelaburan gergasi Amerika Syarikat, BlackRock, menjadi sasaran baharu dalam serangan dunia maya. Hubungan BlackRock dengan entiti pro-Zionis dan sokongan terhadap kepentingan Israel menjadikan pemilikan mereka terhadap MAHB sesuatu yang amat kontroversi. Tidak hairan jika penggodaman ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi lebih besar untuk menguji kelemahan infrastruktur strategik negara yang kini berada di bawah pengaruh asing.
Pakar undang-undang pula memberi amaran bahawa MAHB kini boleh disaman oleh pengguna dan syarikat penerbangan antarabangsa sekiranya terbukti data peribadi dan keselamatan telah terdedah akibat serangan ini. Keadaan ini boleh memberi kesan besar kepada imej Malaysia sebagai hab penerbangan antarabangsa dan destinasi pelaburan yang selamat.
Pemerhati politik dan keselamatan siber menyifatkan insiden ini sebagai “hadiah awal” daripada kemasukan BlackRock ke dalam sistem ekonomi Malaysia. Ia sekali gus menghidupkan kembali kebimbangan terhadap keterbukaan pentadbiran negara kepada pengaruh luar yang berpotensi menggugat kedaulatan digital serta keselamatan nasional.
Tindakan segera dan profesionalisme dalam mengurus krisis ini amat dituntut, namun lebih penting lagi, pemimpin tertinggi negara perlu sedar bahawa setiap kenyataan membawa implikasi besar terhadap integriti negara di mata dunia.
Leave a Reply