Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Kontroversi Kuil 130 Tahun: Tanah Rupanya Milik Jakel, Diwakaf Untuk Masjid

KUALA LUMPUR – Kontroversi berhubung perancangan pembinaan sebuah masjid di Jalan Masjid India kembali hangat selepas pendedahan bahawa tanah yang menempatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman adalah milik sah Jakel Trading Sdn Bhd dan telah diwakafkan oleh pengasas syarikat itu, Allahyarham Mohamed Jakel bin Ahmad.

Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporat Jakel, Aiman Dazuki dalam kenyataan menjelaskan bahawa hasrat wakaf ini telah dirancang sejak tahun 2009, dan pengambilalihan sah ke atas Lot 328 dimuktamadkan pada tahun 2012.

β€œIni adalah hasrat Allahyarham yang mahu tanah tersebut dimanfaatkan untuk membina sebuah masjid bagi keperluan komuniti tempatan, khususnya sebagai simbolik kepada sumbangan lebih 6,000 kakitangan Jakel selama ini,” katanya dalam satu video sidang media yang dimuat naik oleh Astro AWANI.

Penjelasan itu hadir susulan kecaman oleh bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan dan kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) yang membantah pemindahan kuil Hindu berusia lebih 130 tahun dari tapak asalnya.

Kuil Sri Pathrakaliamman yang dibina sebelum kemerdekaan negara dikatakan bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid di atas tanah tersebut. LFL sebelum ini menyatakan kebimbangan terhadap tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa telah memberi kebenaran merancang kepada pihak swasta.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif pula menjelaskan bahawa DBKL hanya bertindak sebagai pemudah cara dalam urusan pemindahan kuil terbabit ke lokasi baharu yang telah dikenalpasti. Katanya, proses tersebut akan dilaksanakan secara adil, telus dan membabitkan semua pihak berkepentingan.

Terdahulu, timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat apabila tapak kuil yang dianggap bersejarah itu dirancang untuk dimajukan tanpa penjelasan jelas mengenai status tanah tersebut. Namun, pengesahan Jakel bahawa tanah berkenaan merupakan hak milik sah syarikat mereka sejak 2012 menamatkan spekulasi berkaitan isu pemilikan.

Polemik ini dijangka terus menjadi sorotan umum kerana menyentuh sensitiviti kaum dan agama, walaupun pihak berkuasa menegaskan proses pemindahan akan dilakukan dengan penuh tertib dan menghormati kepentingan semua pihak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *