Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Kesedaran Rakyat Meningkat, Pejabat PM Terpaksa Bertindak Balas

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat semakin terkesan dengan pendedahan berterusan oleh rakyat mengenai janji-janji pilihan raya yang tidak ditunaikan. Walaupun Setiausaha Akhbar Kanannya, Tunku Nashrul Abaidah menegaskan bahawa Perdana Menteri menjadi mangsa fitnah, realitinya rakyat hanya mengulang kembali janji yang pernah dibuat sendiri oleh Anwar ketika berkempen sebagai pembangkang.

Antara janji yang terus diingati rakyat adalah penurunan harga minyak. Sebelum ini, Anwar lantang menyatakan bahawa harga bahan bakar itu boleh diturunkan sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) berkuasa. Namun, selepas PH menang pada 2018, beliau berdalih dengan alasan bahawa beliau bukan Perdana Menteri ketika itu.

Kini, setelah benar-benar berada di puncak kuasa, rakyat semakin lantang menuntut bukti dan menilai sama ada janji-janji tersebut ditepati atau sekadar omongan kosong. Kesedaran ini semakin luas apabila video-video lama ucapan beliau dan menteri-menterinya kembali tular di media sosial. Pendedahan ini ternyata memberi kesan mendalam sehingga pejabat Perdana Menteri terpaksa berulang kali mengeluarkan kenyataan bagi menangkis tekanan daripada rakyat.

Rakyat sedar bahawa usaha ini bukanlah fitnah, tetapi satu peringatan kepada pemerintah supaya tidak mempermainkan kepercayaan rakyat. Jika janji-janji yang pernah diungkapkan dahulu masih gagal ditunaikan, sudah tentu rakyat berhak untuk terus mengingatkan dan menuntut jawapan.

Pendedahan ini harus diteruskan agar pemimpin bertanggungjawab terhadap kata-kata mereka sendiri. Apatah lagi, dalam era digital, segala ucapan terdahulu kekal sebagai bukti dan tidak mudah untuk dipadam daripada ingatan rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *