
Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Kelantan (DSADR), menjangkakan kemungkinan besar Parlimen akan dibubarkan lebih awal, menjelang tahun hadapan. Menurutnya, keadaan ekonomi yang semakin meruncing menjelang 2027 boleh menjadi tekanan besar kepada kerajaan jika PRU diadakan pada waktu itu. Oleh itu, Perdana Menteri dijangka mengambil langkah lebih awal untuk memastikan kedudukan politiknya kukuh sebelum krisis ekonomi memberi kesan kepada sokongan rakyat.
Selain itu, tegasnya, Perdana Menteri kini berdepan cabaran dalaman, termasuk daripada sebahagian pemimpin DAP dan UMNO yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya. Serangan dalaman ini boleh menjadi faktor utama dalam keputusan membubarkan Parlimen lebih awal, bagi mengelakkan perpecahan lebih besar dalam kerajaan sedia ada.
Kelantan Bakal Menjadi Sasaran Utama Serangan Politik
Dalam menghadapi PRU yang semakin hampir, negeri-negeri pembangkang, terutamanya Kelantan, akan menjadi sasaran utama serangan politik. Beliau menekankan bahawa pembangkang tidak boleh hanya bersikap defensif dan sekadar menjawab isu yang ditimbulkan pihak lawan, tanpa memperkukuhkan strategi sendiri.
Di era Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, walaupun hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat dijaga, ATGNA tetap lantang mengkritik Perdana Menteri ketika itu. Pendekatan ini penting untuk memastikan kerajaan negeri tidak dilihat lemah dan terus mempertahankan dasar-dasar Islam yang diperjuangkan.
Taktik lama politik mungkin berulang, di mana beberapa pemimpin pembangkang akan diheret ke mahkamah untuk memberi gambaran negatif kepada rakyat. Walaupun belum ada keputusan bersalah atau tidak, kes yang dibuka sudah cukup untuk dijadikan modal pilihan raya dan mencipta persepsi yang boleh menjejaskan kredibiliti pembangkang.
Bersedia Awal, Tidak Rugi Apa-Apa
DSADR menegaskan bahawa pembangkang tidak boleh leka dan perlu menggerakkan jentera lebih awal. Sekiranya PRU berlaku lebih awal, kita sudah bersedia sepenuhnya. Namun, jika ia tidak berlaku, sekurang-kurangnya persiapan telah dibuat dan jentera parti telah diperkukuh. Ini membolehkan pembangkang terus menguasai naratif politik dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang datang.
Beliau mengingatkan bahawa strategi politik bukan sekadar menunggu dan bertindak balas, tetapi memerlukan persediaan yang rapi bagi memastikan momentum perjuangan terus kekal sehingga tiba masa sebenar rakyat membuat pilihan di peti undi.
Leave a Reply