Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Rantau Panjang Lumpuh. Paras Sungai Golok Lebihi Rekod Banjir 2014

RANTAU PANJANG – Paras air Sungai Golok kini mencecah 11.42 meter, melepasi catatan banjir besar 2014, menyebabkan penduduk Rantau Panjang mengisytiharkan kawasan itu lumpuh sepenuhnya pada Khamis.

Hujan lebat yang tidak berhenti sejak beberapa hari lalu memaksa bekalan elektrik di beberapa kawasan diputuskan sebagai langkah keselamatan. Penduduk Pekan Rantau Panjang, Fadhli Mat Yusof, meluahkan kebimbangan apabila mengenang tragedi banjir besar yang berlaku setiap 10 tahun, berdasarkan pengalaman lepas.

“Tahun 2004, 2014, dan sekarang 2024, paras air naik begitu cepat. Rumah kami dua tingkat, tetapi keadaan ini sangat membimbangkan. Jika perlu, kami akan berpindah,” katanya.

Menurut Fadhli, bekalan makanan dan peralatan kecemasan seperti lilin serta ‘powerbank’ telah disediakan lebih awal, namun beliau tetap berjaga-jaga dengan kemungkinan bekalan elektrik dan liputan telekomunikasi terputus seperti yang berlaku sebelum ini.

Keadaan lebih parah dirasai oleh penduduk berhampiran Sungai Golok, termasuk Nasran Nasuha, yang menyaksikan air naik mendadak bermula jam 1 tengah hari Rabu. “Air di hadapan rumah sudah melebihi satu meter. Jika hujan berterusan, banjir kali ini pasti lebih teruk daripada 2014,” katanya. Beliau turut memaklumkan hanya bot yang kini boleh memasuki kawasan Rantau Panjang.

Di Kampung Banggol Kulim, Siti Nurfazmira Azmi turut berkongsi kebimbangan apabila banjir di rumahnya sudah melebihi paras 0.5 meter, lebih tinggi daripada banjir 2014 yang hanya mencapai 0.3 meter. Cuaca gelap dan hujan lebat berterusan menambahkan suasana cemas di kalangan penduduk.

Penduduk Rantau Panjang kini berharap agar hujan segera reda, namun ramai sudah bersiap sedia menghadapi situasi yang dijangka semakin memburuk. Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada banjir kali ini bakal mencatat rekod baharu dalam sejarah kawasan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *