
Penganut agama Kristian pastinya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas perubahan cuti hujung minggu Johor kepada Sabtu dan Ahad. Langkah ini memberi peluang kepada mereka untuk ke gereja pada pagi Ahad tanpa halangan sekolah atau kerja, satu kelegaan bagi mereka yang sudah lama mengharapkan kemudahan sebegini.
Langkah perubahan cuti ini, walaupun dilaksanakan atas dasar ekonomi, turut membawa implikasi yang membuka ruang kepada gaya hidup yang lebih liberal. Bagi DAP, ini ibarat jackpot – langkah kecil yang dirasakan mampu melonggarkan kedudukan Islam secara halus. Ironinya, ketika DAP bersemangat memperjuangkan kebebasan agama untuk semua, mereka kerap mengambil pendekatan bertentangan apabila dasar memperkasakan Islam diperkenalkan. Tindakan mereka bukanlah sesuatu yang baru, dan sokongan terhadap perubahan ini hanya satu lagi contoh kecenderungan mereka untuk bersorak apabila sesuatu yang berpotensi menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam berlaku.
Namun, kita harus memberikan pujian kepada TMJ kerana sentiasa mengutamakan usaha untuk menjaga keharmonian di negeri Johor. Titah baginda memperlihatkan keprihatinan terhadap pelbagai keperluan rakyat sambil memastikan kebajikan ekonomi negeri terjaga. Malah, dengan mendapat restu daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor, ini membuktikan bahawa perubahan ini bukan dibuat tanpa pemikiran yang mendalam. TMJ dan Sultan Ibrahim telah mengimbangkan antara tuntutan ekonomi dan kepentingan Islam, membuktikan bahawa Johor sentiasa mengutamakan keharmonian sosial dalam segala keputusan.
Tahniah kepada DAP, yang pastinya sangat gembira dengan perubahan ini. Bagi mereka, segala perkara yang dilihat berpotensi membuka pintu kepada liberalisasi amat dialu-alukan. Tetapi sebagai umat Islam, kita perlu tetap berwaspada dan memastikan bahawa identiti kita tetap dipertahankan, walaupun perubahan ini dilihat kecil. Kerana apa yang kelihatan kecil hari ini, mungkin besar kesannya pada masa hadapan.
Leave a Reply