
PENGKALAN CHEPA, 6 Oktober 2024 – Ijtimak Tarbawi Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) edisi ke-10 bakal berlangsung kurang dari sebulan, dengan jangkaan kehadiran lebih 5,000 anak muda dari seluruh negara. Program tarbiah yang penuh pengisian ini akan berlangsung pada 1 dan 2 November 2024 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), yang sekali lagi akan menjadi pusat perhimpunan besar Abnaul Harakah.
Mesyuarat jawatankuasa kali kedua telah diadakan hari ini di PUTIK, diiringi lawatan tapak bagi mempersiapkan penganjuran yang dijangka penuh semangat dan hikmah. Ketua Pemuda PAS Pengkalan Chepa, Mohd Afif Rabbani Abdullah, menyatakan bahawa PUTIK akan menjadi tumpuan anak muda dengan pelbagai pengisian menarik yang disajikan sebagai santapan tarbawi untuk semua yang hadir.
Mengikut kenyataan daripada laman rasmi Pemuda PAS Malaysia, tarbiah adalah asas penting dalam membentuk jati diri para pejuang Islam. Tanpa proses tarbiah, perjuangan yang berlandaskan semangat sahaja tidak akan bertahan lama. Oleh itu, Ijtimak Tarbawi kali ini menjadi medan penting bagi pemuda-pemuda Islam menguatkan kekuatan dalaman mereka.
Para peserta dijemput untuk hadir dan menyertai program ini, yang dijadualkan berlangsung dari Jumaat hingga Sabtu, di mana pelbagai sesi tarbiah dan pengisian rohani disediakan bagi memperkasakan semangat perjuangan Islam dalam kalangan anak muda.
Dengan tema “Kita Memimpin”, Ijtimak Tarbawi 10.0 dijangka menjadi salah satu acara terbesar bagi Pemuda PAS tahun ini, menggabungkan tarbiah, ukhwah, dan perjuangan dalam usaha membina jati diri dan kekuatan dalaman sebagai pejuang Islam. Jangan lepaskan peluang untuk hadir dan turut serta dalam program penting ini!
Leave a Reply