Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Paksu Tomoi, Peminat Setia RX-Z, Sebak Terima Penghargaan Umrah

Foto: Sinar Harian

Kuala Terengganu – Seorang warga emas berusia 68 tahun yang juga peminat setia motosikal Yamaha RX-Z, tidak dapat menahan sebak selepas menerima hadiah pakej umrah sebagai penghargaan atas kesetiaannya menyertai penganjuran program RXZ Members di Terengganu.

Ismail Abdullah, yang lebih dikenali sebagai Paksu Tomoi, menerima kunjungan daripada pihak pengurusan RXZ Members serta Syarikat Hashwat Alharamayn & Tours di kediamannya di Kuala Ketil, Kedah. Lawatan pada hari Jumaat itu diadakan sebagai tanda penghormatan atas kesungguhan Paksu yang sanggup menempuh perjalanan hampir 1,000 kilometer untuk menghadiri acara tersebut.

Menurut Penganjur RXZ Members, Mohamad Faizal Mat Ali, Paksu Tomoi telah menjadi ikon dalam setiap penganjuran program tersebut sejak edisi pertama lagi, dengan sentiasa hadir menunggang motosikalnya walaupun terpaksa menempuh perjalanan jauh.

“Paksu adalah penyeri bagi setiap program himpunan kami. Beliau sentiasa hadir, tidak kira jarak yang perlu ditempuh, dan ini menunjukkan komitmen serta minat yang mendalam. Sebagai tanda penghargaan, kami, dengan kerjasama agensi pelancongan, telah menghadiahkan pakej umrah kepada beliau,” kata Mohamad Faizal.

Hadiah itu sangat menyentuh hati Paksu, yang dijadualkan berangkat mengerjakan umrah pada 20 November akan datang. “Kami harap Paksu sentiasa sihat dan gembira dengan hadiah ini,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, video yang memaparkan Paksu menunggang Yamaha RX-Z dengan penuh semangat ketika menyertai RXZ Members 6.0 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, telah menarik perhatian ramai di media sosial. Program yang berlangsung pada September lalu itu berjaya menghimpunkan lebih 40,000 peserta dari seluruh negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *