Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Sejarah Kampung Tapang (1902) Dipaparkan di Karnival Cakna Rakyat DUN Panchor

Foto: Penghulu Mukim Tapang, Haji Kamaruddin Daud (kiri)

Kampung Tapang, sebuah kampung bersejarah yang dibuka pada tahun 1902, menjadi tumpuan dalam Karnival Cakna Rakyat DUN Panchor yang berlangsung hari ini. Penghulu Mukim Tapang, Haji Kamaruddin Daud, bersama seluruh hadirin turut mengenakan pakaian bertema “orang kampung”, menambah warna dan semangat nostalgia kepada acara tersebut.

Sejarah Kampung Tapang

Kampung Tapang diasaskan oleh seorang ulama terkenal dari Patani, Selatan Thailand, yang dikenali sebagai Tok Ayah atau Tok Syeikh, dengan nama sebenarnya Musa Al-Fatoni. Beliau tiba di Kelantan melalui jalan laut setelah melarikan diri daripada buruan Kerajaan Siam kerana pengaruhnya yang besar di sana. Pada waktu itu, Tok Ayah datang berseorangan, meninggalkan isteri dan anak-anaknya di Patani. 

Tok Ayah mula-mula menetap di Kampung Kijang, Jalan PCB, selama dua tahun. Namun, setelah keberadaannya diketahui oleh pihak Kerajaan Siam, arahan untuk menangkap dan membunuh beliau telah dikeluarkan. Tok Ayah berjaya melarikan diri ke Kampung Belukar, yang kini dikenali sebagai Kampung Dusun Raja Tapang, dan menetap di situ secara kekal.

Perjuangan dan Sumbangan Tok Ayah

Tok Ayah bukan sahaja seorang alim, tetapi juga seorang pendekar yang kuat menentang kerajaan Siam pada masa itu. Di Kampung Dusun Raja Tapang, beliau membina sebuah pondok kecil di dalam hutan tebal dan mula mengajar agama kepada penduduk sekitar Kampung Cherang, yang pada waktu itu hanya mempunyai lima keluarga. Usaha gigih beliau membuahkan hasil apabila ramai penduduk kampung berpeluang mempelajari ilmu agama dan mempertahankan diri.

Nama Kampung Tapang diambil sempena sebuah pokok Ketapang besar berusia lebih 80 tahun yang menjadi simbol kampung ini. Sejarah Tok Ayah ini disampaikan oleh Mak Cik Limah, nama sebenar Halimah binti Yusoff, seorang generasi kedua keturunan Tok Ayah yang meninggal dunia pada usia 105 tahun pada tahun 2002. Tok Ayah sendiri meninggal dunia pada tahun 1938 ketika berusia 98 tahun.

Pada tahun 1950, Masjid Kampung Tapang yang dinamakan Masjid Ismaili telah dibina oleh Tuan Haji Mat Saman bin Yusoff, imam pertama kampung ini. Masjid tersebut digantikan dengan masjid baharu yang didirikan pada tahun 2001.

Geografi dan Demografi Kampung Tapang

Mukim Tapang kini dihuni oleh kira-kira 8,850 penduduk yang tinggal di 1,430 buah rumah. Muka buminya dahulu dipenuhi dusun dan kawasan pertanian, namun kini lebih tertumpu kepada rumah kedai dan kawasan perumahan. Terletak hanya 5 km dari Bandar Kota Bharu, 85% penduduk Mukim Tapang bekerja dalam sektor kerajaan dan swasta.

Perkongsian sejarah ini dipaparkan dalam bentuk kain rentang di booth Mukim Tapang sempena karnival ini, mengimbau kembali sejarah dan jasa seorang ulama besar yang pernah berjuang demi agama dan masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *