Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Nasihat Ketua Muslimat: Jujur dan Adil. Jangan Sorok Perkahwinan dari Isteri!

Foto: Parlimen Malaysia

PENGKALAN CHEPA, 13 September – Isu poligami semakin kerap dibincangkan dalam kalangan lelaki di pelbagai platform, termasuk group WhatsApp kebelakangan ini. Menyedari perkara ini, Ketua Muslimat tampil memberi peringatan agar perbincangan mengenai poligami tidak diambil mudah dan dilakukan dengan penuh tanggungjawab.

Menurut Ketua Muslimat, poligami bukan sekadar isu penambahan isteri, tetapi ia menuntut tanggungjawab yang sangat besar dari segi keadilan, kewangan, dan emosi. Beliau menekankan bahawa lelaki yang bercadang untuk berpoligami harus memastikan diri mereka bersedia sepenuhnya dari segala aspek, mengikut syarat-syarat yang telah digariskan oleh agama Islam.

“Poligami bukanlah perkara main-main. Kejujuran dan keterbukaan dalam hubungan rumah tangga amat penting, lebih-lebih lagi apabila melibatkan lebih daripada satu isteri. Suami yang berhasrat berpoligami perlu berterus terang dengan isteri sedia ada dan bukan mengambil jalan mudah dengan menyembunyikan perkahwinan baharu,” jelasnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau juga menekankan bahawa tanggungjawab untuk memberi nafkah dan menjaga kebajikan setiap isteri serta anak-anak perlu dijalankan dengan adil dan saksama. Sebarang kealpaan dalam menjalankan tanggungjawab ini boleh mengakibatkan masalah rumah tangga dan memberi kesan negatif kepada masyarakat.

“Jangan hanya melihat kepada keinginan untuk menambah isteri, tetapi pertimbangkan juga kemampuan untuk memastikan setiap tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan baik. Kita perlu mengelak daripada mencetuskan fitnah kepada agama dan jemaah dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab,” tambahnya lagi.

Peringatan ini hadir di tengah-tengah kebimbangan bahawa perbincangan mengenai poligami sering menjadi topik ringan tanpa memahami bebanan yang perlu ditanggung oleh pihak suami. Ketua Muslimat menegaskan, poligami yang diuruskan dengan baik boleh membawa kebaikan, namun ia harus dilakukan dengan penuh tanggungjawab, keadilan, dan kejujuran.

“Jika benar mahu berpoligami, pastikan segala syarat dipenuhi, berlaku adil, dan jujur dalam setiap langkah. Islam menggariskan syarat yang jelas untuk menjaga kesejahteraan rumah tangga,” katanya mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *