Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

PAS Terbuka Ketengahkan Calon Wanita, Tiada Kuota Tetap – Sanusi

Foto: Facebook Dewan Muslimat PAS Malaysia – DMPM

TEMERLOH: PAS tidak menetapkan sebarang kuota kepada Dewan Muslimat untuk diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang akan datang. Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menegaskan parti itu sentiasa terbuka untuk memberi ruang kepada sayap wanita parti untuk menamakan calon mereka dalam mana-mana pilihan raya.

“Kami beri peluang kepada Muslimat secara terbuka, tiada kuota apa-apa. Kena ada keupayaan dan ruang, PAS sentiasa terbuka. Di Kedah, ramai calon wanita yang layak. Malah, ada yang dilantik menjadi Exco negeri,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Muslimat PAS kali ke-64 di sini, pada Jumaat.

Sanusi, yang juga Menteri Besar Kedah, menjelaskan bahawa keterbukaan PAS dalam mengetengahkan calon wanita tidak melanggar hukum Islam, tetapi ia perlu bersesuaian dengan keadaan dan situasi di kawasan pilihan raya yang terlibat.

“Isu hukum (wanita sebagai calon) sudah selesai, tetapi kita perlu melihat kepada kesesuaian. Jika kawasan itu secara fizikal tidak sesuai untuk wanita bertanding, kita perlu pertimbangkan faktor lain seperti keupayaan intelektual dan keadaan fizikal tempat tersebut,” jelasnya. Beliau turut memberi contoh kawasan Sik di Kedah yang luas dan berhutan, dengan pergerakan fizikal yang terhad, menyebabkan pertimbangan khas perlu diambil kira.

Mengenai peluang ahli Dewan Muslimat untuk dilantik sebagai Menteri Besar sekiranya PAS berjaya menguasai kerajaan negeri, Sanusi menyatakan perkara itu boleh dipertimbangkan, tetapi menegaskan bahawa parti perlu memenangi pilihan raya terlebih dahulu.

“Tiada masalah melantik wanita sebagai Menteri Besar, tetapi parti kena menang dahulu, barulah kita boleh lantik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *