
KOTA BHARU: Semua perniagaan yang dikendalikan oleh Global Ikhwan Services and Business (GISBH) Holdings di negeri ini masih beroperasi seperti biasa, meskipun terpalit dengan dakwaan mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.
Tinjauan di Bandar Kota Bharu mendapati perniagaan GISBH seperti motel, bakeri, kafe, dan kedai makan beroperasi seperti biasa tanpa gangguan. Malah, bilangan pelanggan yang memasuki premis juga tidak berkurangan walaupun laporan serbuan polis yang menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja tersebar di media sejak semalam.
Walaupun GISBH secara konsisten menafikan sebarang penglibatan dalam aktiviti eksploitasi kanak-kanak, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menyebut secara jelas bahawa nama GISBH terlibat dalam siasatan polis. Serbuan dilakukan selepas maklumat risikan menunjukkan kemungkinan GISBH terlibat dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
Dalam serbuan tersebut, polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja yang berusia antara satu hingga 17 tahun dari 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan. Namun begitu, operasi perniagaan GISBH di Kota Bharu tetap berjalan lancar tanpa sebarang tanda gangguan.
Restoran “Manisnya Madu”, yang suatu masa dahulu popular dengan panggilan “Nasi Air Arqam” di kalangan penduduk tempatan. Hidangan nasi airnya, masih mengekalkan reputasinya sebagai salah satu destinasi makanan kegemaran di kawasan tersebut.
Leave a Reply