
KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, mengesahkan bahawa polis telah memulakan siasatan terhadap kumpulan perniagaan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) selepas menerima laporan mengenai pengabaian dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di premis yang dipercayai milik GISBH.
Operasi yang dinamakan Op Global ini melibatkan serbuan di beberapa premis GISBH sekitar Selangor dan Negeri Sembilan, bermula dari jam 6 pagi hingga 11 pagi tadi. Serbuan dilakukan setelah laporan diterima pada 2 September lalu berkenaan dakwaan pengabaian kanak-kanak, amang seksual, dan perbuatan cabul di rumah penjagaan GISBH.
“Hasil serbuan pagi tadi, kami berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara tujuh bulan hingga 17 tahun. Sebanyak 18 premis diserbu dan seramai 171 suspek berusia antara 17 hingga 64 tahun ditahan,” kata Razarudin dalam sidang media khas di Kuantan.
Operasi ini melibatkan 705 pegawai dan anggota polis, serta bantuan daripada 287 kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan, dan Jabatan Kimia.
Kanak-Kanak Diajar Meliwat
Razarudin turut mendedahkan bahawa modus operandi yang digunakan oleh GISBH termasuk mengajar kanak-kanak cara meliwat. “Daripada risikan dan keterangan yang kami terima, kanak-kanak diajar meliwat dan seterusnya diliwat oleh penjaga, serta dipaksa menyaksikan penghuni lain dianiaya,” katanya.
Beliau juga mendedahkan bahawa kumpulan ini menggunakan sentimen agama untuk meraih simpati serta mendapatkan sumbangan. “Mangsa juga dikatakan tidak diberikan rawatan perubatan walaupun dalam keadaan kritikal, dan hukuman fizikal dikenakan dengan menggunakan objek dipanaskan,” jelasnya.
Selain penderaan seksual, terdapat juga dakwaan bahawa penjaga menyentuh tubuh kanak-kanak untuk tujuan ‘perubatan Islam’.
GISBH kini disiasat mengikut beberapa akta, termasuk Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
Siasatan terhadap kes ini masih diteruskan, dan pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan yang tidak berperikemanusiaan ini.
Tinjauan wartawan Berita Padu, sebuah premis perniagaan GISBH di Kota Bharu dilihat turut ditutup hari ini.
Leave a Reply