
BACHOK – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah, menuntut penjelasan daripada pengendali halaman Facebook ‘Amran Fans’ berhubung penyebaran semula rakaman video lama yang memaparkan persembahan wanita tanpa lesen di Bachok.
Hilmi menyatakan bahawa video yang dimuat naik itu memberikan gambaran negatif terhadap penduduk Bachok dan penguatkuasa Majlis Daerah Bachok, seolah-olah membiarkan persembahan terbuka oleh penyanyi wanita tanpa sebarang lesen atau permit hiburan.
“Persembahan seperti ini sudah lama tidak dianjurkan, malah penyanyi wanita dalam video tersebut telah berhijrah dan tidak lagi terlibat dalam aktiviti sedemikian,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Video berdurasi 29 saat itu, yang menunjukkan seorang wanita berpakaian baju kurung dan bertudung sedang menyanyi dan menari seperti penyanyi dangdut diiringi muzik moden, telah dimuat naik di Facebook ‘Amran Fans’ semalam dengan kapsyen ‘Bachok, USA’. Video tersebut mendapat lebih 500,000 tontonan dan hampir 500 perkongsian.
Hilmi yang juga ADUN Guchil berkata, beliau dimaklumkan mengenai video berkenaan pagi tadi setelah menerima banyak panggilan dan mesej daripada orang ramai yang meminta penjelasan. Beliau telah mengarahkan Yang Dipertua Majlis Daerah Bachok untuk segera menyiasat isu ini.
Menurut Hilmi, hasil siasatan mendapati rakaman tersebut berlaku lebih setahun lalu tetapi dimuat naik semula oleh ‘Amran Fans’, yang memiliki 361,000 pengikut. Komen-komen pada hantaran tersebut seolah-olah menggambarkan bahawa hiburan tanpa permit ini baru sahaja berlaku.
“Penganjuran hiburan seperti ini jelas melanggar Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan Negeri Kelantan 1998, serta Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003. Saya memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti hiburan haram yang berlaku tanpa lesen di Kelantan,” tambahnya.
Leave a Reply