
Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia kesembilan, bukanlah seorang pemimpin biasa. Dilahirkan di Kampung Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang, dan kini sebagai Ahli Parlimen Bera, beliau dibesarkan dalam suasana sejarah perjuangan bangsa yang kuat.
Penglibatan awal Ismail Sabri dalam politik bermula sebagai ahli Pemuda UMNO di Pahang di bawah pimpinan Sabarudin Chik, bekas Menteri Persekutuan dan Setiausaha Agung UMNO. Pada suatu ketika, seorang rakan politik pernah mengajaknya menyertai Parti Rakyat Malaysia (PRM), namun Ismail Sabri dengan sopan menolak kerana hatinya sudah terpaut kepada UMNO. Andai beliau menyertai PRM ketika itu, mungkin beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri kesembilan negara ini.
Sepanjang tempoh singkat beliau sebagai Perdana Menteri dari akhir zaman pandemik Covid-19 hingga Pilihan Raya Umum 2022, Ismail Sabri berjaya mengemudi negara dengan tenang. Di bawah kepimpinan beliau, suasana politik Malaysia lebih stabil, mencerminkan ketenangan peribadinya.
Ismail Sabri juga memainkan peranan penting dalam melaksanakan dua pindaan besar terhadap Perlembagaan Persekutuan. Pertama, pindaan Perkara 1(2) mengenai status Sabah dan Sarawak, dan kedua, pindaan Perkara 49(A) yang menguatkuasakan Akta Antilompat Parti. Dibantu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) ketika itu, Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pindaan ini dilaksanakan dalam keadaan aman tanpa sebarang kekecohan.
Di bawah pemerintahannya, sistem kehakiman berjalan dengan bebas dan tegas, di mana keputusan mahkamah dihormati tanpa sebarang campur tangan. Ini termasuk kes di mana bekas pemimpin politik yang besar dihukum tanpa diberikan keistimewaan “DNAA” (Lepasan Tanpa Dibebaskan).
Kecekapan Ismail Sabri juga terserlah apabila beliau memastikan peruntukan yang adil kepada ahli parlimen pembangkang tanpa sebarang kontroversi. Sebagai seorang yang terlatih dalam bidang undang-undang, prinsip keadilan menjadi keutamaannya.
Meskipun berbeza ideologi politik, seorang bekas gurunya di Kuala Lumpur berasa bangga melihat beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri. Ismail Sabri pernah menjadi pelajarnya, dan isterinya, Muhaini, yang digelarnya Nani, juga merupakan bekas murid beliau. Bekas guru itu berharap agar Ismail Sabri akan terus menjadi pemimpin yang membawa kebaikan kepada negara.
Beliau tidak berkempen, tetapi percaya bahawa UMNO dan Barisan Nasional memerlukan pemimpin yang berprinsip seperti Ismail Sabri.
Leave a Reply