Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Akhirnya MOF Tampil Jelas Peruntukan RM250 Juta, Pendedahan Exco Kelantan Tepat

KOTA BHARU, 3 November 2026: Kementerian Kewangan (MOF) akhirnya tampil memberikan penjelasan rasmi hari ini berhubung peruntukan lebih RM250 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus mengesahkan bahawa hanya RM30 juta diperuntukkan bagi pembinaan terminal bas baharu di Stesen ECRL Kota Bharu.

Penjelasan itu selaras dengan pendedahan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Dato’ Dr. Izani Husin semalam, yang memaklumkan bahawa surat kelulusan rasmi diterima Kerajaan Negeri menyatakan jumlah RM30 juta bagi komponen terminal berkenaan.

Menurut kenyataan MOF hari ini, baki peruntukan yang melebihi RM200 juta sebenarnya disediakan bagi kerja awal cadangan pemanjangan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.

Kerja tersebut meliputi reka bentuk awal, ukur dan penyiasatan tanah, Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA), penyediaan Skim Kereta Api serta kerja penyediaan tapak bagi membolehkan projek dilaksanakan pada fasa seterusnya.

Ini bermakna keseluruhan peruntukan lebih RM250 juta yang diumumkan Perdana Menteri bukanlah khusus untuk pembinaan terminal bas KB Sentral, sebaliknya merangkumi dua komponen pembangunan pengangkutan yang berbeza.

Penjelasan rasmi MOF itu memberikan pengesahan terhadap angka RM30 juta yang dibangkitkan Izani ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan Kelantan 2027 semalam.

Terdahulu, pengumuman Perdana Menteri mengenai kelulusan RM250 juta bagi pembangunan KB Sentral telah mendapat perhatian ramai, khususnya dalam kalangan rakyat Kelantan yang menantikan pembinaan terminal pengangkutan bersepadu tersebut.

Bagaimanapun, penjelasan terbaharu MOF memperincikan bahawa sebahagian besar peruntukan itu sebenarnya melibatkan kerja awal cadangan sambungan ECRL ke Rantau Panjang dan bukannya kos pembinaan terminal bas semata-mata.

Perkembangan ini memperlihatkan kepentingan membezakan jumlah keseluruhan pakej pembangunan dengan peruntukan khusus bagi setiap komponen projek.

Walaupun kedua-dua komponen berkaitan usaha memperkukuh jaringan pengangkutan negeri, pengumuman peruntukan awam perlu disertakan pecahan yang jelas bagi mengelakkan salah faham mengenai jumlah sebenar yang disediakan untuk sesuatu kemudahan.

MOF dalam kenyataannya turut menjelaskan bahawa pelaburan berkenaan bertujuan merancakkan aktiviti perniagaan, memperkukuh sektor logistik, menarik pelaburan dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Pembinaan terminal bas baharu di Stesen ECRL Kota Bharu pula dirancang bagi menghubungkan perkhidmatan kereta api dengan bas ekspres, bas henti-henti, teksi dan perkhidmatan e-panggilan.

Dengan penjelasan rasmi tersebut, angka RM30 juta yang didedahkan Exco Kelantan semalam kini mempunyai pengesahan daripada Kerajaan Persekutuan sendiri.

Perkara yang masih memerlukan perhatian ialah kecukupan peruntukan berkenaan untuk menyiapkan komponen terminal serta jadual sebenar pelaksanaan projek demi manfaat rakyat Kelantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *