
Projek MyDID yang sepatutnya menjadi tulang belakang identiti digital negara kini berdepan teguran serius selepas Laporan Ketua Audit Negara 1 Tahun 2026 mendedahkan sejumlah RM28.13 juta dibelanjakan tanpa kelulusan jawatankuasa yang ditetapkan.
MIMOS Berhad yang dilantik sebagai agensi pelaksana pada November 2023 dengan peruntukan awal RM80 juta, didapati gagal memastikan struktur tadbir urus projek berfungsi sebagaimana ditetapkan. Laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat itu menegaskan ketiadaan pembentangan rasmi berkaitan kelulusan perbelanjaan serta status pelaksanaan semasa mesyuarat, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap disiplin pengurusan dalaman.
Daripada sudut kewangan, Audit mendapati 11 subskop projek dibelanjakan tanpa atau melebihi penyaluran peruntukan berjumlah RM4.08 juta, selain satu subskop lagi melebihi kos sebanyak RM70,000. Lebih membimbangkan, perbelanjaan melibatkan resource cost, emolumen, kemudahan perubatan kakitangan dan kelengkapan pejabat berjumlah RM14.09 juta dibayar menggunakan dana pembangunan, bertentangan dengan Garis Panduan Pelaksanaan Projek Pembangunan RMK12 yang tidak membenarkan emolumen dan kelengkapan pejabat dibiayai melalui peruntukan pembangunan.
Isu perolehan turut menimbulkan kebimbangan apabila pembelian security cage dan door access dibuat tanpa kelulusan Makmal Kajian Nilai dan peralatan tersebut tidak digunakan. Situasi ini bukan sahaja mencerminkan kelemahan kawalan aset malah membuka ruang kepada pembaziran dana awam.
Projek MyDID yang dikendalikan melalui MyDigital ID Sdn. Bhd. sepatutnya menjadi simbol integriti transformasi digital negara. Namun dapatan Audit menunjukkan kegagalan pematuhan terhadap struktur kos dan tujuan peruntukan yang diluluskan, selain menuntut pelaksanaan tanggungjawab fidusiari yang lebih tegas oleh wakil dalam Lembaga Pengarah.
Penambahbaikan segera disyorkan termasuk memastikan setiap perbelanjaan mendapat kelulusan jawatankuasa berkaitan, mematuhi struktur kos projek dan memperkukuh tadbir urus Geran Pembangunan dengan ketelusan serta akauntabiliti penuh. Kegagalan mematuhi prinsip asas ini berisiko menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pengurusan dana awam dan agenda digital negara.
Leave a Reply