Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Rombakan Kabinet Dijangka Segarkan Pentadbiran Negara Petang Ini

Rombakan kabinet berskala besar dijangka diumumkan hari ini apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim dipercayai mempersembahkan senarai baharu jemaah menteri dan timbalan menteri kepada Yang di Pertuan Agong Sultan Ibrahim Iskandar pada sebelah pagi. Perkara itu disokong dengan pemuatan naik foto pertemuan rasmi di Istana Bukit Tunku Kuala Lumpur menerusi akaun Facebook rasmi Sultan Ibrahim sekitar tengah hari.

Sumber yang rapat dengan kepimpinan kerajaan memaklumkan pengumuman rasmi dijangka dibuat pada lewat petang, dengan jangkaan sekitar jam empat petang atau sedikit lewat bergantung kepada pengurusan akhir pentadbiran. Rombakan kali ini digambarkan sebagai melibatkan perubahan besar, termasuk kenaikan pangkat beberapa timbalan menteri serta pertukaran portfolio penting.

Menurut sumber dalaman parti, sekurang kurangnya tiga timbalan menteri daripada Pakatan Harapan disebut sebut bakal dinaikkan sebagai menteri penuh. Mereka ialah R Ramanan yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Akmal Nasir dari Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta Adam Adli Abdul Halim dari Kementerian Belia dan Sukan. Namun begitu, masih belum dapat dipastikan sama ada pelantikan tersebut melibatkan portfolio baharu atau kenaikan dalam kementerian sedia ada.

Sumber sama turut menyatakan kemungkinan seorang menteri kanan yang memegang portfolio strategik akan dipindahkan ke kementerian lain. Antara nama yang disebut ialah Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, walaupun tiada pengesahan rasmi setakat ini.

Rombakan kabinet kali ini juga dikatakan berpotensi memperkenalkan beberapa muka baharu ke dalam barisan pentadbiran, sama ada melalui kenaikan pangkat daripada jawatan timbalan menteri atau pelantikan terus ke portfolio tertentu. Keputusan muktamad dijangka hanya diketahui selepas pengumuman rasmi dibuat oleh Perdana Menteri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *