Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Adakah PAS Bakal Menyertai Hajiji?

Sumber dalam blok pembangkang memaklumkan perbincangan antara PAS dan pihak kerajaan negeri memang berlaku. Perbincangan itu menyentuh soal peruntukan kepada Adun serta jaminan bahawa tiada pelantikan wakil GRS sebagai bayangan Adun di Karambunai. Perkara ini turut disahkan oleh seorang anggota pasukan Adun Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang mengakui wujud komunikasi tersebut. 

Sokongan politik di Sabah terus bergerak penuh teka teki selepas Hajiji Noor kembali mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri. Kedudukannya kini berada sangat hampir untuk membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.

Kenyataan terbaru Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang menyebut bahawa BN telah memberikan sokongan untuk bersama membentuk kerajaan negeri membuka ruang spekulasi luas. Walaupun tidak menyebut secara jelas dengan siapa BN bekerjasama, ramai mentafsir ia sebagai sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah.

GRS memenangi 29 kerusi dan disokong oleh PH yang mempunyai satu kerusi, Upko tiga kerusi dan Star dua kerusi. Jumlah keseluruhan ialah 35 kerusi dan masih dua kerusi di bawah majoriti mudah. Lima Adun bebas dipercayai turut menyatakan sokongan menjadikan angka itu meningkat kepada 40.

Sekiranya BN mengesahkan sokongan, jumlah itu melonjak kepada 46 kerusi. Sokongan daripada KDM yang mempunyai satu kerusi pula mendekatkan lagi jumlah tersebut kepada ambang majoriti dua pertiga. Perbezaan itu boleh ditampung melalui pelantikan enam Adun tambahan yang dibenarkan dalam perlembagaan negeri. Jumlah keseluruhan kerusi DUN akan meningkat kepada 79 dan Hajiji berpotensi mendapat 53 kerusi, iaitu cukup untuk majoriti dua pertiga.

Di pihak lain, persoalan besar yang belum terjawab ialah kedudukan Warisan yang masih belum mengumumkan pendirian. Jika Warisan turut bersama, hanya tinggal seorang wakil rakyat sebagai pembangkang iaitu Adun dari parti Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *