
Dalam dunia kepimpinan, penyakit paling merbahaya ialah sifat paranoid. Bila seorang pemimpin terlalu takut dijatuhkan, dia mula melihat musuh pada setiap orang di sekeliling. Kritikan yang datang untuk membina dianggap ancaman. Dialog tertutup, suara berbeza dibisukan.
Akibatnya, kepercayaan kepada pasukan hilang. Yang dipilih bukan kerana kepakaran, tetapi kerana kesetiaan. Maka wujud kelompok yang hanya pandai mengangguk, tetapi tidak mampu menyumbang. Tenaga yang sepatutnya digunakan membangunkan rakyat dihabiskan untuk mengira siapa kawan dan siapa lawan. Lalu ketakutan itu mencetus lingkaran kegagalan, kerana tindakan keras yang diambil akhirnya melahirkan penentangan sebenar.
Ketakutan ini lahir daripada tiga perkara. Takut hilang kuasa dan maruah. Takut dihukum sejarah sebagai gagal. Takut pada ketidakpastian dunia luar kawalan. Malangnya, dalam ketakutan itu pemimpin semakin bergantung pada simbol dan imej, sedangkan keyakinan diri semakin rapuh.
Ingatlah, kekuatan seorang pemimpin bukan pada kuasa yang digenggam, tetapi pada kebijaksanaan mendengar dan keikhlasan menunaikan amanah. Jangan jadi kapten kapal yang karam kerana sibuk mencari pengkhianat, sedang layar yang bocor tidak pernah dibaikinya.
Leave a Reply