At BP, we believe in the power of truth, unity, and strength in news reporting. Established with the mission to deliver reliable, current, and impactful news, we are committed to providing our audience with the stories that matter, both locally and globally.

Perdana Menteri sindir kepimpinan ekstrem. Taksub bahasa dan kaum jadi racun perpecahan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak terlalu taksub dalam mempertahankan bahasa hingga sanggup menafikan kewujudan bahasa lain. Beliau menegaskan sikap sedemikian boleh menggugat keharmonian serta membawa negara ke arah perpecahan.

Menurut Anwar, sejarah dunia telah membuktikan bahawa terdapat negara yang runtuh akibat kepimpinan yang terlalu ekstrem dalam isu bahasa sehingga menindas bahasa lain. Beliau bagaimanapun enggan menyebut nama negara terbabit kerana dianggap sensitif.

“Ketaksuban mempertahankan bahasa tanpa ruang kepada bahasa lain pernah menjadi punca kehancuran. Malah, ada negara yang berpecah kerana sentimen kaum dan juga kerana fahaman agama yang melampau, bukan hanya dalam kalangan umat Islam, bahkan Kristian dan Hindu,” katanya.

Beliau menekankan bahawa Islam mengajar umatnya untuk menghayati ajaran agama tanpa menghina agama lain. Justeru, kata Anwar, menghormati kepelbagaian agama dan budaya merupakan asas utama bagi memastikan keharmonian dalam masyarakat majmuk di Malaysia terus terpelihara.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa konsep Malaysia Madani hanya mampu memberi makna jika warganya benar-benar menghayati nilai komitmen, kefahaman serta iltizam demi mempertahankan kesatuan bangsa.

“Kesatuan ini bermakna kita menghormati kaum lain. Hakikatnya, kemuliaan manusia bukan pada bahasa, budaya atau keturunan, tetapi pada tahap takwa kepada Tuhan. Itu janji-Nya,” ujar beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *