
Pukul anak sindir menantu. Begitulah cara halus kita menyampaikan sesuatu yang lebih besar tanpa menyebutnya secara langsung. Dalam bahasa orang putih, inilah yang disebut sebagai read between the lines, membaca maksud yang tersirat, bukan yang zahir semata-mata.
Maka apabila Dato’ Sri Amar D’Raja Kelantan berseloroh, “Sekiranya dah tiada calon Perdana Menteri Malaysia, biarlah saya yang jadi,” itu bukan satu kenyataan rasmi atau hasrat sebenar untuk menjadi Perdana Menteri. Ia bukan satu pengisytiharan. Sebaliknya, ia adalah satu bentuk jawapan sinis untuk menutup segala serangan, sindiran dan soalan-soalan yang seolah-olah ingin menjebak kita dalam satu permainan politik yang tidak perlu. Hanya mereka yang tidak mengerti gaya bahasa orang bijak akan terus menyangka beliau benar-benar bercita-cita ke jawatan itu. Lalu membuat andaian bodoh, berdasarkan pemahaman yang cetek.
Begitu juga apabila beliau, sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa, berkata dengan nada bersahaja bahawa jika ada yang ingin datang melawat atau mempelajari daripada PAS Pengkalan Chepa, “tidak perlulah datang, tiada apa yang boleh kita tunjukkan.” Kata-kata ini, jika difahami secara lurus, mungkin disangka merendah diri sampai ke tahap menghina kawasan sendiri. Tapi hakikatnya bukan begitu. Kata-kata itu adalah cerminan dari satu prinsip yang dalam, bahawa kekuatan sebenar tidak boleh dizahirkan.
Kekuatan Pengkalan Chepa hidup dalam hati-hati ahli, dalam kefahaman yang mengakar, dalam keikhlasan yang tidak mencari publisiti. Kejujuran dan amanah yang tidak nampak di mata apatah lagi dijadikan persembahan. Mana mungkin kita ingin menjerit, “kami kuat kerana kami jujur, kami amanah!” Itu bukan sifat kita. Dan bukan begitu caranya kekuatan dibuktikan.
Justeru, fahamilah, apabila seseorang seperti DSADR berkata sesuatu secara sinis atau bersahaja, janganlah ditelan bulat-bulat atau difahami secara literal. Fahami dengan akal dan jiwa. Jangan terlalu cepat membuat kesimpulan yang akhirnya hanya mendedahkan kedangkalan kita sendiri.
T.A.
Ketua Jabatan IT PAS Pengkalan Chepa
Ketua Big Data Jentera Pilihan Raya PAS Pengkalan Chepa
Setiausaha PAS Cawangan Panchor
Leave a Reply