
Ucapan penangguhan Saudara Mohd Afif Rabbani bin Abdullah, mantan Ketua Pemuda PAS Kawasan Pengkalan Chepa merangkap wakil DUN Panchor, tampil sebagai penyimpul yang penuh semangat, padat dengan mesej tarbawi dan strategik.
Beliau mengangkat Surah Ali ’Imran ayat 79 hingga 89 sebagai bingkai nasihat, menegaskan bahawa perjuangan para nabi tidak pernah mengajak kepada pemujaan peribadi, tetapi kepada pengabdian mutlak kepada Allah. Maka perjuangan PAS juga mesti kekal atas dasar tauhid, bukan pada tokoh atau gelaran.
Beliau mengingatkan bahawa para nabi dahulu berjanji akan menyokong mana-mana rasul yang datang membawa kebenaran, dan begitu jugalah ahli PAS mesti bersedia menyokong kepimpinan yang dipilih secara sah, selagi ia membawa misi Islam. Sesiapa yang berpaling setelah pernah menikmati cahaya perjuangan adalah golongan yang merugikan diri sendiri, kecuali jika mereka kembali bertaubat dan memperbaiki diri.
Dalam nada yang lebih beremosi, beliau menyatakan komitmen penuh kepada Yang Dipertua PAS Kawasan, Dato’ Sri Amar D’Raja Kelantan. “Agar teguh bersama YDP. Ke mana YDP pergi, ke situ kita pergi,” ujarnya lantang.
Beliau turut mengetengahkan isu pengukuhan pengurusan cawangan sebagai asas penting dalam kemenangan jemaah. Setiap AJK cawangan digesa agar benar-benar berfungsi, bukan hanya menjadi pengisi senarai jawatan. Pengurusan cawangan mesti tersusun, aktif, dan mempunyai kesinambungan pelapis. Katanya, kekuatan PAS bermula di surau, markas dan rumah ahli, bukan hanya di dewan besar atau media sosial. “Kalau kita mahu menang secara konsisten, kita mesti bina jemaah yang tersusun dari bawah. Kemenangan bermula di cawangan,” tegas beliau.
Leave a Reply