
Kita ketepikan dahulu perbahasan panjang tentang tarikh sebenar kelahiran dan kewafatan Nabi ﷺ. Hakikatnya, tarikh 12 Rabi‘ul Awwal telah diterima secara meluas, tercatat dalam buku teks sekolah rendah dan menengah, serta dijadikan cuti umum persekutuan. Bagi mereka yang mengambilnya sebagai sandaran, tarikh ini membawa dua peristiwa besar, iaitu kelahiran dan juga kewafatan Baginda ﷺ.
Masyarakat kita lebih banyak meraikan tarikh ini sebagai hari kelahiran Rasulullah ﷺ, dengan pelbagai acara seperti jamuan, selawat, perarakan, nasyid, syair, burdah dan berzanji. Namun tidak ramai yang benar-benar sedar, bahawa tarikh sama juga dicatat sebagai hari kewafatan Baginda ﷺ, bagi yang menerima pandangan tersebut.
Sebagai renungan sebelum kita menyelami detik-detik terakhir Rasulullah ﷺ, perlu diingat bahawa dengan kemajuan ilmu falak dan kajian saintifik hari ini, sejarah boleh dinilai semula dengan lebih teliti. Kedudukan bulan dan matahari mampu diteliti kembali, lalu digabungkan dengan hadis sahih dan catatan sirah. Usaha ini mungkin tidak memberikan kepastian mutlak, namun cukup untuk mendekatkan kita kepada gambaran sebenar tarikh-tarikh penting dalam sejarah Islam.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ آلِ مُحَمَّدٍ
Dan di antara peristiwa yang diriwayatkan secara sahih berlaku pada hari Isnin ialah kewafatan Rasulullah ﷺ.
Pada detik-detik terakhir kehidupan Rasulullah ﷺ, suasana di rumah Aisyah RA dipenuhi hiba. Baginda memanggil puterinya yang tercinta, Fatimah RA, lalu membisikkan sesuatu ke telinganya hingga ia menangis. Tidak lama kemudian, Baginda membisikkan sekali lagi, membuatkan Fatimah tertawa di celah tangisannya. Rahsia itu ialah khabar bahawa ajal Baginda sudah dekat, dan Fatimah adalah ahli keluarga pertama yang akan menyusul. Dengan penuh kasih, Baginda menenangkan puterinya, “Selepas hari ini, tiada lagi penderitaan ke atas ayahandamu.”
Baginda kemudian memanggil Hasan dan Husain, cucu kesayangannya, lalu berpesan dengan kebaikan, sebelum menasihati para isterinya. Kesakitan Baginda semakin berat, kesan racun di Khaibar yang masih terasa, sehingga Baginda bersabda, “Wahai Aisyah, aku masih lagi terasa bisa makanan yang aku makan di Khaibar, maka sekarang tibalah masanya aku merasai bagaikan hendak terputus urat leherku disebabkan oleh racun ini.”
Tibalah saat terakhir kehidupan Rasulullah ﷺ dengan Aisyah menyandarkan Baginda ﷺ ke ribaannya. Dalam hal ini, Aisyah berkata, “Antara nikmat-nikmat yang Allah kurniakan kepadaku ialah Rasulullah ﷺ wafat di dalam rumahku semasa giliranku dan dirangkulanku antara leher dan dadaku. Dan Allah SWT telah mengumpulkan air liurku dan air liur Baginda ﷺ ketika kewafatan Baginda ﷺ.”
Abdulrahman bin Abu Bakar yang masuk dengan di tangannya ada kayu sugi, dan ketika Aisyah sedang meriba Rasulullah ﷺ. Baginda ﷺ memandang ke arah Abdulrahman dan Aisyah menyedari bahawa Baginda ﷺ ingin kayu sugi tersebut. Aisyah pun bertanya kepada Baginda ﷺ, “Mahukah aku ambilkan kayu sugi untukmu?”
Baginda ﷺ mengisyaratkan dengan kepalanya tanda setuju. Lalu Aisyah hulurkan kayu sugi tersebut tetapi ia kelihatan keras. Aisyah pun berkata, “Mahukah aku lembutkannya untukmu?.” Baginda ﷺ mengisyaratkan dengan kepalanya tanda setuju, lalu Aisyah melembutkannya dan Baginda memerintahkan untuk disugi.
Ketika itu, di hadapan Baginda ﷺ ada sebekas kecil berisi air. Baginda ﷺ mencelupkan tangannya di dalam bekas air tersebut, lalu menyapunya di muka sambil berkata, “Tidak ada Tuhan selain daripada Allah, sesungguhnya bagi kematian itu kesakitan-kesakitan.”
Sebaik sahaja selesai bersugi Baginda ﷺ mengangkat tangannya atau jarinya serta mendongak ke bumbung sambil bibirnya bergerak. Aisyah RA merapatkan telinganya kerana ingin mendengar apa yang diucapkan oleh Baginda ﷺ.
“Bersama orang-orang yang Engkau beri nikmat kepada mereka daripada kalangan para nabi, orang-orang benar, orang-orang syahid dan orang-orang soleh. Ya Allah, ampunilah aku dan rahmatilah aku serta pertemukan aku dengan Teman Yang Tertinggi, Ya Allah, Kekasih Yang Tertinggi.”
Baginda ﷺ mengulangi kalimah akhir tersebut sebanyak tiga kali, kemudian tangan Baginda ﷺ terkulai layu dan Baginda ﷺ pun pergi menghadap Kekasih Yang Tertinggi.
Leave a Reply