
PENGKALAN CHEPA. Konvensyen PAS Kelantan 2025 akan menghimpunkan seluruh kepimpinan parti dan ahli jawatankuasa dari pelbagai peringkat pada 6 September ini bertempat di Dewan Besar PUTIK, Pengkalan Chepa. Program bermula jam 8 pagi hingga 1.45 tengah hari dengan pengisian utama oleh pimpinan tertinggi PAS negeri.
Konvensyen kali ini bukan sahaja menjemput para pimpinan negeri dan lantikan politik, malah turut melibatkan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan, Dewan Ulamak, Pemuda, Muslimat, Majlis Tindakan DUN, serta Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan di seluruh negeri. Kehadiran mereka dijangka memperkukuh kesatuan saf perjuangan di semua peringkat akar umbi.
Majlis akan dimulakan dengan ucapan aluan oleh Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, YB Dato’ Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, sebelum ucaptama Pesuruhjaya PAS Kelantan, YB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Hj Ahmad Yakob. Ulasan seterusnya akan disampaikan oleh Naib Presiden PAS merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, YB Dato’ Sri Amar D’Raja Ustaz Dato’ Mohd Amar Abdullah.
Ucapan daripada Dewan Ulamak, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Sidang As-Sabiqun, DHPP, serta wakil kawasan dan BBC akan turut menyerikan konvensyen. Penggulungan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Hj Daud, akan menjadi kemuncak sebelum majlis ditangguhkan.
Konvensyen ini dijangka menjadi medan penyatuan barisan kepimpinan PAS Kelantan dari seluruh pelosok negeri, memperkukuh hala tuju perjuangan dan semangat menegakkan Islam sebagai penyelesaian.
Leave a Reply