
KUALA LUMPUR – Majlis Konvokesyen Professional anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berlangsung penuh gemilang di ibu negara apabila para graduan diraikan atas kejayaan menamatkan pengajian, menerima penganugerahan Certified Data Analyst yang disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Dr. Huzili Hussin.
Lebih membanggakan, semua penerima turut menerima tauliah antarabangsa daripada Cambridge Professional Academy, menjadikan mereka pemegang pengiktirafan dwi-standard bertaraf global.
Antara yang mencuri perhatian ialah Ketua Big Data Jentera Pilihan Raya Parlimen Pengkalan Chepa, Tengku Aizuddin bin Tengku Zainal, yang juga Ketua Jabatan IT Pengkalan Chepa dan pemegang kelulusan BTEC HND in Software Engineering. Penganugerahan ini hadir hanya sehari selepas beliau pulang dari Kaherah bersama delegasi Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Speaker Dewan Negeri Kelantan serta Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta.
Turut berada di pentas penganugerahan ialah Dekan Fakulti Sains Data dan Perkomputeran UMK, Prof. Madya Ts. Dr. Hasyiya Karimah binti Adli. Program professional ini menghimpunkan lebih 20 wakil agensi kerajaan dan swasta dengan penglibatan terus pakar serta pemain industri, menggunakan data sebenar di lapangan bagi latihan teori dan praktikal.
Timbalan Naib Canselor UMK menzahirkan ucapan tahniah kepada semua graduan yang berjaya menamatkan tugasan dan projek akhir walaupun berdepan kesibukan kerja harian.
Dalam landskap moden, kepakaran Data Analyst kian kritikal apabila setiap keputusan strategik sama ada dalam perniagaan, politik mahupun pentadbiran, menuntut analisis data yang tepat, pantas dan berasaskan fakta. Big data kini menjadi nadi penggerak sektor ekonomi, kesihatan, keselamatan dan governans. Penganugerahan ini membuktikan bahawa penguasaan kemahiran analitik adalah senjata penting bagi menjamin daya saing serta keberkesanan dalam era maklumat berkelajuan tinggi.
Leave a Reply