
PENGKALAN CHEPA – Ketika negara semakin dihujani dengan promosi keterbukaan terhadap budaya songsang atas nama hak asasi dan kebebasan individu, Kelantan tampil sebagai antara negeri yang menolak kemungkaran serta menyediakan bimbingan kembali kepada fitrah.
Siri program khas yang membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri Kelantan dan agensi persekutuan dalam menangani isu kecelaruan identiti seksual sentiasa diadakan secara berhikmah dan berkesan, malah telah berjaya membawa perubahan besar kepada ramai peserta. Pendekatan yang digunakan bukan memusuhi, tetapi menyantuni dan membimbing secara sukarela, tanpa paksaan dan tanpa tekanan.
Datuk Dr Ahmad Marzuk bin Shaary pernah menghimpunkan peserta daripada kalangan lesbian dan pengkid yang ingin berubah dan kembali kepada jalan Allah SWT. Bimbingan disusun rapi melibatkan modul fardhu ain, pemulihan emosi, kesedaran kesihatan dan kekuatan motivasi dalaman. Ia dilaksanakan dalam suasana penuh kasih sayang, dengan kepimpinan dan pengawasan mereka yang pakar dan berwibawa.
Hasilnya, telah wujud pelbagai NGO Komuniti Hijrah yang lahir daripada program-program ini. Antaranya seperti Muhajirah WAFIQ, Usrah Iqrak dan Kifahuna Jemaa, yang kini menjadi antara gerakan paling aktif di peringkat akar umbi dalam membimbing golongan songsang kembali ke pangkal jalan.
Apa yang lebih membanggakan, usaha memerangi maksiat di Kelantan bukan sekadar datang dari pihak berkuasa agama, tetapi turut mendapat dokongan padu daripada rakyat dan pasukan Polis Diraja Malaysia di peringkat negeri. Sikap berani dan tegas ketua polis serta pegawai-pegawai di Kelantan dalam menangani pesta maksiat, budaya liar dan gejala LGBT secara tertutup mahupun terbuka, sewajarnya menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.
Adalah amat wajar ketua polis di negeri-negeri lain turut mengambil langkah berani seperti yang dilakukan di Kelantan. Tindakan mencegah maksiat dan menyelamatkan anak bangsa tidak boleh diserahkan kepada NGO dan agensi agama sahaja, tetapi perlu menjadi tanggungjawab kolektif seluruh institusi negara.
Kelantan telah bertindak. Kelantan terus memimpin dengan kasih sayang dan keyakinan terhadap kuasa perubahan yang datang daripada hidayah Allah SWT.
Baca lanjut: Anwar dapat tangguh kes sivil gangguan seksual terhadap pembantu peribadi Yusoff Rawther
Leave a Reply