At BP, we believe in the power of truth, unity, and strength in news reporting. Established with the mission to deliver reliable, current, and impactful news, we are committed to providing our audience with the stories that matter, both locally and globally.

Polis Dakwa Parti Songsang, NGO Kata Program HIV. Rakyat Kelantan Bimbang Serbuan Banglo Kemumin Bala Di Era MADANI

KOTA BHARU – Seramai 31 pertubuhan bukan kerajaan dan aktivis hak asasi tampil mempertahankan sebuah program kesihatan HIV yang diserbu polis baru-baru ini di Kota Bharu, Kelantan, menafikan dakwaan bahawa ia merupakan “parti seks songsang”. Sebaliknya, mereka menyatakan program itu sah dan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah model Differentiated HIV Services for Key Populations (DHSKP).

Menurut kenyataan bersama yang dikemukakan oleh Justice for Sisters, Suaram, Women’s Aid Organisation (WAO), PSM dan Amnesty International Malaysia, acara tersebut adalah sebahagian daripada pendekatan kesihatan awam untuk menyediakan khidmat saringan, kaunseling dan maklumat berkaitan HIV secara tertutup dan bebas stigma kepada golongan berisiko tinggi.

Program yang berlangsung pada 17 Jun itu, menurut mereka, tidak langsung melibatkan sebarang aktiviti tidak bermoral atau perkhidmatan seksual. Ia bermula jam 8 malam dan tamat sekitar tengah malam, dengan kehadiran doktor serta petugas kesihatan. Hanya sekitar 20 peserta masih menunggu keputusan ujian ketika pihak berkuasa tiba.

Namun begitu, penjelasan daripada pihak NGO dan Majlis AIDS Malaysia tidak berjaya meredakan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat. Rata-rata penduduk Kelantan, termasuk orang kampung, melahirkan rasa resah terhadap kewujudan serta peningkatan kehadiran golongan LGBTQ di negeri ini, lebih-lebih lagi dalam suasana pemerintahan kerajaan pusat MADANI yang dianggap lebih terbuka terhadap agenda liberal.

Bagi rakyat Kelantan, apa jua justifikasi kesihatan atau pendekatan hak asasi yang digunakan, kehadiran dan kegiatan terbuka golongan LGBTQ tetap dianggap satu ancaman kepada kesejahteraan negeri yang dikenal sebagai Serambi Mekah. Ramai berpendapat bahawa sikap mendiamkan diri atau memberi ruang kepada kegiatan sedemikian hanya akan mengundang kemurkaan Allah dan membawa kepada bala yang tidak memilih siapa mangsanya.

“Ini bukan soal ujian HIV atau kesihatan awam semata-mata. Ini soal akidah, soal maruah negeri. Kalau di luar sana perkara sebegini dianggap biasa, Kelantan bukan tempat untuk mereka bernafas bebas,” ujar seorang penduduk tempatan ketika diminta mengulas.

Sementara itu, kenyataan polis sebelum ini menyebut bahawa serbuan dilakukan berdasarkan maklumat risikan dan aduan awam. Walaupun semua peserta ujian air kencing didapati negatif, tiga individu ditahan atas kesalahan memiliki kandungan intim dalam telefon bimbit masing-masing.

Pihak NGO pula menyifatkan penahanan itu sebagai bermotifkan prejudis, dan menegaskan bahawa dakwaan “parti gay” tersebut adalah tidak berasas sama sekali.

Majlis AIDS Malaysia turut menjelaskan bahawa acara tersebut diadakan secara profesional dan dirancang agar mereka yang bekerja siang hari juga dapat menghadirinya. Namun dalam masa yang sama, mereka menggesa semua agensi kerajaan, termasuk pihak berkuasa, agar mendukung usaha ini dalam suasana yang kondusif.

Realitinya, jurang antara pendekatan kesihatan awam dan sensitiviti agama masyarakat Kelantan semakin melebar, mencetuskan ketegangan antara aktivisme hak asasi dan tuntutan akar umbi yang mahu negeri ini kekal bersih daripada sebarang pengaruh gaya hidup yang bertentangan dengan syariat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *