
KOTA BHARU – Proses pemilihan kepimpinan PAS Kawasan Pengkalan Chepa bagi sesi baharu menyaksikan permulaan yang tertib namun tetap mencuri tumpuan apabila berlaku pertandingan bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua (TYDP).
Dua jawatan utama, iaitu Yang Dipertua (YDP) dan Naib Yang Dipertua (NYDP), masing-masing dimenangi tanpa bertanding, membuktikan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi daripada para perwakilan terhadap kepimpinan sedia ada yang terus diberi mandat menerajui kawasan ini.
Tumpuan kini terarah kepada perebutan jawatan TYDP apabila Molvi Azhar Satar tampil sebagai pencabar kepada penyandang, menandakan medan ujian baharu buat barisan kepimpinan kawasan. Pertembungan ini dijangka berlangsung sengit, apatah lagi dalam suasana yang mengutamakan kekuatan rekod khidmat dan penerimaan akar umbi.
Terdahulu, jawatan ini pernah mencetuskan persaingan apabila Dato’ Dr Izani Husin dicabar oleh Ustaz Nik Abduh bin Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz. Dalam pertandingan yang berlangsung dengan penuh perhatian itu, Dr Izani memperoleh kemenangan besar dengan 209 undi, berbanding 37 undi yang diraih Nik Abduh, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai pemimpin yang diyakini.
Keputusan pemilihan tahun ini akan diumumkan selepas sesi pengundian selesai dijalankan. Para pemerhati dan perwakilan kini menantikan apakah sejarah akan berulang, atau bakal tercatat kejutan baharu dalam landskap PAS Pengkalan Chepa.
Leave a Reply